Sejarah Udinese Calcio

Udinese Calcio telah ditubuhkan pada tahun 1896 yang sebahagian daripada Società Udinese di Ginnastica e Scherma, (Persatuan Gimnastik dan Lawan Pedang Udinese). Dalam tahun sulungnya, kelab ini memenangi Torneo FNGI di Treviso dengan menewaskan Ferrara 2–0 dan walau bagaimanapun, gelaran ini tidak diiktiraf rasmi.

Pada 5 Julai 1911, sesetengah ahli gimnas Udinese yang diketuai Lugi Dal Dan menubuhkan A.C. Udinese yang kemudian menyertai Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC). Pasukan ini kemudian melakukan debut dalam perlawanan persahabatan menentang Juventus Palmanova dan menang 6–0.

Udinese mula mengambil bahagian dalam kejohanan FIGC pada musim 1912–13. Pada musim itu, mereka mendaftar di Campionato Veneto di Promozione yang hanya mengandungi tiga pasukan sahaja (Petrarca dan Padova tidak termasuk Udinese). Dengan dua kemenangan ke atas Padova (3–1 dan 5–0), Udinese menamatkan kejohanan di tempat kedua di belakang Petrarca dan dinaikkan ke divisyen pertama Prima Categoria. Di Prima Categoria, Udinese gagal untuk melangkah ke peringkat kebangsaan selepas tersingkir di Eliminatoria Veneta.

Melangkah ke final Coppa Italia

Pada musim 1920–21 menyaksikan debut Gino Bellotto, yang kemudian beraksi 17 musim seterusnya untuk Zebrette.

Pada tahun 1922, Udinese mengambil peluang ketiadaan kelab gergasi dengan menyertai Kejohanan Bola Sepak Itali FIGC dan melangkah ke perlawanan akhir Coppa Italia sebelum kecewa tewas 1–0 kepada Vado hasil jaringan pada masa tambahan.

Dalam saingan liga, Udinese menamatkan musim di tempat kedua di Girone Eliminatorio Veneto lalu membolehkan kelab ini untuk kekal di divisyen teratas pada musim seterusnya walaupun pembentukan semula kejohanan liga yang mengurangkan beberapa penyertaan.

Musim 1922–23 merupakan satu musim yang malang buat Udinese apabila mereka menduduki tempat tercorot liga dan disingkirkan ke divisyen kedua. Selain itu, kelab ini juga berisiko gagal dalam membayar hutang pada 1923. Pada 24 Ogos 1923, AS Udinese dipisahkan dari AC Udinese Friuli dan kelab ini dipaksa untuk mempersiapkan bajet. Mujurlah kesemua hutang dibayar oleh Presiden Alessandro Del Torso menerusi penjualan kesemua lukisannya dan Udinese mampu menyertai Divisyen Kedua dan mereka menduduki pada tempat keempat liga.

Pada musim 1924–25 pula sentiasa dalam ingatan. Udinese dimasukkan dalam Kumpulan F Divisyen II. Kejohanan yang diadakan ini hanya terdapat tiga pasukan pilihan untuk menang iaitu Udinese, Vicenza dan Olympia River. Pusingan play-off akan menentukan pasukan mana akan melangkah ke perlawanan akhir.

Udinese menewaskan Olympia dalam play-off 1-0 dan seri 1-1 bertemu Vicenza. Mengikut kedudukan play-off, Udinese dan Vicenza sentiasa berada di hadapan dengan tiga mata bagi kedua-dua pasukan pasukan. Perlawanan play-off lain diadakan bagi menentukan pemenang. Selepas perlawanan pertama berkesudahan seri 0-0, Udinese tewas 1-2 pada perlawanan timbang balik tetapi Udinese dianugerahkan sebagai pemenang oleh kerana Vicenza menempatkan seorang pemain yang tidak memenuhi syarat, iaitu Horwart dari Hungary.

Barisan pemain Udinese pada 1937.

Dalam pusingan akhir, Udinese menamatkan kejohanan dengan layak ke First Division bersama Parma. Pada musim berikutnya, Udinese menamatkan musim di tempat ke-10 dan disingkirkan sekali lagi. Namun, format kejuaraan ini sekali lagi dibentuk semula dan Udinese mempunyai sekali lagi peluang untuk mengekalkan kedudukannya di divisyen ini. Mereka mengambil bahagian dalam pusingan play-off bersama tujuh pasukan lain untuk bermain di Serie A. Pemenang akan kekal di divisyen itu. Walau bagaimanapun, mereka tewas dalam aksi play-off bertemu Legnano dan kehilangan tempatnya di divisyen tertinggi Itali itu.

Mereka kekal di divisyen kedua Itali sehingga penghujung musim 1928–29 apabila Serie A dan Serie B mula dicipta dan Udinese jatuh ke divisyen ketiga pula yang dikenali sebagai Terza Serie. Pada musim pertamanya di Terza Serie, Udinese melakar keputusan baik apabila berjaya melonjak kedudukannya ke Serie B.

Kedudukan mereka di Serie B tidak bertahan lama apabila selepas dua tahun iaitu ketika musim 1931–32, Udinese kembali semula di divisyen ketiga. Udinese kekal di situ (kemudian dinamakan sebagai Serie C pada 1935) sehingga musim 1938–39 apabila menduduki tempat kedua di Girone Finale Nord di Serie C, mereka menerima kenaikan ke Serie B.

Pemain-pemain Udinese pada tahun 1944.

Zebrette kekal di Serie B bertahun-tahun kemudian dan akhirnya mereka menerima nasib sama, iaitu disingkirkan ke Serie C pada penghujung musim 1947–48 oleh kerana perubahan kejohanan. Penyingkiran ini walaupun diikuti dua kenaikan berturut-turut apabila Udinese menamatkan musim dengan cemerlang di Serie B iaitu di tempat kedua pada musim 1949-50 lalu Friulani mencatat kenaikan bersejarah ke Serie A.

Kemerosotan

Udinese kekal berada di Serie A selama lima musim dan hampir meraih kejuaraan scudetto bersejarah ketika melalui musim 1954–55 tetapi mereka berada di tangga kedua di belakang pendahulu Milan. Pada musim seterusnya, mereka walau bagaimanapun disingkir ke Serie B pada 31 Mei 1953 iaitu pada hari terakhir musim. Pasukan Friuliani ini akhirnya kembali ke Serie A selepas satu musim di Serie B dan pada musim berikutnya, Udinese dilihat melalui musim cemerlang dengan menamatkan musim di tempat keempat.

Udinese kemudian dilanda kemerosotan pada musim berikutnya apabila kelab ini disingkir semula ke Serie B pada musim 1961–62 dan seterusnya, Serie C pada 1963–64. Udinese kekal di Serie C selama 15 tahun dengan kehilangan beberapa peluang untuk kembali semula ke Serie B. Akhirnya pada musim 1977–78, Udinese di bawah bimbingan jurulatih Massimo Giacomini, kembali semula ke Serie B selepas menjuarai Girone A. Pada musim yang sama, mereka juga memenangi Coppa Italia Semiprofessionisti dengan membenam Reggina selain turut memenangi Anglo-Italian Cup.

Kejayaan Piala Mitroipa

Pada musim seterusnya, Udinese di bawah pengurusan Massimo Giacomini menjuarai kejuaraan Serie B sekali gus menyaksikan mereka kembali semula ke Serie A selepas hampir 20 tahun. Pada tahun pertamanya di Serie A selepas dua dekad, mereka berjaya melepasi zon penyingkiran dengan menduduki tempat ke-15 liga. Di pentas Eropah, mereka menjulang trofi Piala Mitropa, sebuah kejuaraan Eropah yang telah dimenangi oleh satu pasukan yang beraksi di Serie B pada musim sebelumnya.

Pada musim berikutnyam Udinese tiada bermasalah untuk mengelakkan zon penyingkiran apabila menghuni tempat keenam pada musim 1982–83. Pada masa itu, Udinese mempunyai salah satu pemain terhebat sepanjang zaman iaitu pemain tengah Brazil, Zico.

Pada penghujung musim 1985–86, pasukan ini terlibat dalam skandal pertaruhan dan dipotong sembilan mata pada musim 1986–87. Akhirnya, Udinese tersingkir ke Serie B. Walaupun mereka dipotong mata, Udinese tetap mempunyai harapan untuk kekal di Serie A.

Melangkah ke pentas Eropah

Pada tahun-tahun berikutnya, Udinese memperoleh kenaikan ke Serie A namun mereka disingkirkan ke Serie B beberapa kali. Situasi ini terjadi sehinggalah pada musim 1995–96, Udinese berjaya kembali di Serie A.

Pada musim 1996–97, Udinese dilihat layak ke Piala UEFA di bawah pengurus Alberto Zaccheroni. Pada musim berikutnya, mereka menamatkan musim di tempat ketiga di belakang Juventus dan Internazionale selain penghargaan besar buat Oliver Bierhoff yang menjaringkan 27 gol liga.

Pada Mac 2001, Luciano Spalletti dilantik sebagai pengurus baru bagi menggantikan Luigi De Canio. Spalletti membimbing pasukan untuk berjaya kekal menghuni Serie A. Selepas tempoh Roy Hodgson dan Giampiero Ventura selaku jurulatih, Spaletti sekali lagi dilantik semula sebagai pengurus Udinese untuk menghadapi musim 2002–03 dan hasil kesungguhannya, Udinese berjaya layak ke Piala UEFA pada musim hadapan.

Selepas kejutan dilakar Udinese apabila menghabiskan musim di kedudukan keempat liga pada musim 2004–05, kelihatan Udinese memperoleh kelayakan ke Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam sejarah kelab. Pada penghujung musim yang sama, Spalletti mengumumkan niatnya untuk meninggalkan Udinese.

Pada musim berikutnya, Udinese bermain pada pusingan kelayakan dan berjaya melepasi peringkat itu apabila menewaskan Sporting CP 4–2 secara agregat. Udinese dicabut dan diletakkan dalam kumpulan bersama-sama Panathinaikos, Werder Bremen dan Barcelona.

Mauricio Isla (kiri) dan Alexis Sánchez (kanan) ketika beraksi untuk Udinese pada perlawanan Piala UEFA.

Walaupun menang 3-0 ke atas Panathinaikos pada perlawanan pertama hasil jaringan hatrik Vincenzo Iaquinta, pasukan ini gagal untuk layak ke pusingan kalah mati apabila sekadar menduduki carta ketiga kumpulan apabila berkongsi mata dengan Werder dan dibelakang Barcelona.

Sejarah kini

Selepas beraksi di Liga Juara-Juara, Udinese menamatkan musim di Serie A pada kedudukan ke-10 dan mula kembali kekerapan menamatkan musim di carta tengah liga. Titik perubahan kelab berlaku pada musim panas 2007, apabila kelab ini mengumumkan perlantikan jurulatih Pasquale Marino dan melakukan beberapa pembelian pemain antaranya Fabio Quagliarella dan Gökhan Inler.

Pada musim 2007–08 dimulakan dengan perlawanan terikat seri bertemu juara musim lepas, Internazionale tetapi semangat setiap pemain mula terpadam apbila kekalahan 5-0 kepada Napoli di tempat sendiri. Selepas perlawanan ini, nasib Udinese mula berubah bermula dengan kemenangan ke atas Juventus, terima kasih kepada jaringan lewat perlawanan Antonio Di Natale. Udinese mengekalkan kedudukannya di tempat Liga Juara-Juara bersama Milan, Fiorentina dan Sampdoria namun sehingga penghujung musim, Udinese tersungkur di tempat ketujuh liga dan mendapat tiket kelayakan ke Piala UEFA.

Pada permulaan musim 2008–09, pada satu sidang untuk memperkenalkan jersi baru kelab, laman web baru kelab juga diperkenalkan. Selain itu, perkara baharu muncul dalam bola sepak Itali ialah apabila saluran TV Web pertama yang didedikasikan kepada kelab bola sepak dipanggil Udinese Channel dilancarkan, benar-benar percuma dan boleh dilihat di seluruh dunia.

Pada musim 2008–09, Udinese mencatat beberapa keputusan bercampur-campur di Serie A dengan kemenangan 3-1 ke atas Roma dan menang 2-1 ke atas Juventus tetapi Udinese menghadapi 10 kekalahan menghadapi pasukan termasuklah Reggina, Chievo dan Torino meranapkan harapan mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara. Pada saingan Piala UEFA, Udinese diletakkan dalam kumpulan yang terdapat pasukan pilihan antaranya Tottenham Hotspur, NEC, Spartak Moscow dan Dinamo Zagreb tetapi mereka berjaya melepasi laluan kumpulan. Pada pusingan seterusnya, mereka menewaskan wakil Poland, Lech Poznań 4–3 pada agregat dan mengecewakan juara bertahan, Zenit Saint Petersburg 2–1 secara agregat. Paa peringkat suku akhir bertemu Werder Bremen, Udinese kehilangan beberapa bintangnya iaitu Antonio Di Natale, Samir Handanovič dan Felipe, akhirnya mereka tewas 6-4 pada agregat. Fabio Quagliarella menghasilkan lapan gol sepanjang kempen Piala UEFA manakala mereka menamatkan musim di Serie A di tempat ketujuh sekali gus tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan UEFA musim berikutnya.

Udinese pada aksi Liga Juara-Juara menentang Arsenal.

Musim 2009–10 adalah sesuatu yang amat mengecewakan sama ada pemain dan penyokong. Walaupun Di Natale menjaringkan 29 gol dan dinobatkan penjaring terbanyak liga, kelab ini berentap untuk mengelakkan penyingkiran. Akhirnya, mereka menamatkan musim di tempat ke-15 dengan sembilan mata jauh dari penyingkiran. Laluan mereka di Coppa Italia pula terhenti separuh akhir selepas tewas 2-1 kepada Roma pada agregat. Sebelum itu, mereka menyingkirkan Lumezzane pada pusingan 16 dan Milan di suku akhir.

Pada jendela perpindahan musim panas 2010, Udinese menjual pemain Gaetano D'Agostino, Simone Pepe, Marco Motta dan Aleksandar Luković. Di samping itu, mereka juga membawa masuk pemain-pemain yang berjaya mencatatkan keputusan cemerlang pada musim 2010–11 antaranya Mehdi Benatia dan Pablo Armero. Selepas memulakan musim dengan prestasi hambar apabila tewas pada empat perlawanan pertamanya dan seri pada perlawanan kelima, Udinese mencatat rekod baru apabila berjaya memungut mata terbanyak dalam sejarah kelab dan menamatkan musim di tempat keempat sekali gus mencerahkan harapan Udinese ke Liga Juara-Juara musim hadapan selain Di Natale sekali lagi dianugerahkan capocannoniere hasil 28 gol buat kali kedua berturut-turut. Beliau menjadi pemain pertama berbuat demikian semenjak Giuseppe Signori bermain untuk Lazio pada musim 1993 dan 1994. Perlawanan terakhir musim terikat seri 0-0 di tempat sendiri bertemu Milan mengesahkan tempat Udinese di Liga Juara-Juara. Jurulatih Francesco Guidolin berjanji mengabulkan janjinya untuk "dancing like Boateng" jika mereka layak ke Liga Juara-Juara dan beliau berjoget di tengah padang stadium. Pada saingan Coppa Italia pula, mereka tumpas kepada Sampdoria pada pusingan 16 menerusi penentuan penalti selepas seri 2–2.

Musim 2011–12 menyaksikan Udinese kehilangan beberapa tonggak utama pasukan – Alexis Sánchez dijual ke Barcelona, Gökhan Inler ke Napoli dan Cristián Zapata ke Villarreal. Pada pusingan kelayakan Liga Juara-Juara, Udinese tewas kepada Arsenal 3-1 pada agregat sekali gus mereka memasuki peringkat kumpulan Liga Europa. Di peringkat domestik, Udinese menamatkan musim dengan sekali lagi mereka layak ke Liga Juara-Juara apabila mereka berjaya melonjak ke tangga ketiga liga selepas menewaskan Cagliari 2-0 di tempat lawan. Kedudukan itu sah sehingga tamat musim. Pada jendela perpindahan musim panas, kedua-dua pemain utama kelab, Kwadwo Asamoah dan Mauricio Isla dijual ke juara Juventus. Udinese gagal ntuk melangkah ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara kali ini apabila tewas pada pusingan kelayakan kepada SC Braga menerusi penentuan penalti. Antonio Di Natale menjaringkan 23 gol liga dan ini musim ketiga buatnya berturut-turut setelah menjaringkan lebih 20 gol di Serie A.

Udinese memulakan musim Serie A 2012–13 dengan prestasi berbeza-beza apabila tewas tiga perlawanan dan tujuh kali seri pada 13 perlawanan pertamanya. Walau bagaimanapun, bermula bulan Disember, Udinese mengecapi kemenangan demi kemenangan. Selepas menempuhi tempoh bercampur-campur menang kalah, kelab ini akhirnya mencatat lapan kemenangan berturut-turut sehingga akhir musim selain Luis Muriel mula menyerlah. Sama seperi musim lalu, Di Natale sekali lagi menjaringkan 23 gol dan menjadi pemain pertama sejak Gabriel Batistuta dari Fiorentina menjaringkan 20 gol dan ke atas buat empat musim berturut-turut.